TANGGA BATU - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin mencadangkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai antara pendekatan jangka pendek bagi membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Melaka.Azman berkata, penggunaan teknologi itu boleh dipertimbangkan bagi mengurus dan melancarkan aliran trafik tanpa memerlukan perbelanjaan besar seperti pembinaan jejantas atau laluan bertingkat.Menurutnya, pengalaman beberapa negara menggunakan teknologi AI dalam sistem pengurusan trafik boleh dijadikan rujukan bagi mencari penyelesaian lebih praktikal terhadap masalah kesesakan yang semakin ketara susulan kepesatan pembangunan di negeri ini."Kalau hendak selesaikan masalah trafik, saya lihat pelaburannya besar. Kalau hendak buat jejantas atau laluan bertingkat, kosnya amat tinggi."Mungkin kita boleh gunakan kaedah dan teknologi terbaharu seperti AI. Sekarang banyak negara menggunakan kaedah ini untuk mengawal serta melancarkan aliran trafik."Itu antara pendekatan jangka pendek yang boleh kita lihat, sama ada teknologi AI ini dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan," katanya.Beliau berkata demikian mengenai perancangan dan pendekatannya untuk membawa pembangunan serta menyelesaikan isu rakyat di Paya Rumput sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika sesi wawancara bersama Sinar Harian.Mengulas lanjut, Azman berkata, isu banjir turut menjadi keutamaan memandangkan beberapa kawasan di Paya Rumput sering berdepan masalah berkenaan, selain kesesakan lalu lintas yang semakin ketara akibat pertambahan kawasan perumahan dan pembangunan industri.Katanya, peningkatan jumlah kediaman tanpa peningkatan kapasiti sistem perparitan yang sepadan menyebabkan infrastruktur sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.Justeru, beliau berpandangan penyelesaian isu banjir memerlukan perancangan menyeluruh serta peruntukan besar, termasuk menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan.Dalam pada itu, Azman turut mencadangkan penelitian terhadap kemungkinan pembangunan laluan jalan pesisir pantai yang menghubungkan kawasan Port Dickson ke Melaka sebagai antara usaha jangka panjang memperbaiki akses perhubungan antara Melaka dengan Kuala Lumpur.Bagaimanapun, beliau berpandangan pembinaan laluan kereta api baharu bukan pilihan praktikal ketika ini, sebaliknya penambahbaikan jaringan jalan raya perlu diberi perhatian.Menurutnya, pengalaman berkhidmat di Kuala Lumpur serta kedudukannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri boleh dimanfaatkan bagi memudahkan urusan mendapatkan sokongan, kerjasama dan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan pelbagai isu infrastruktur serta keperluan rakyat Melaka dapat ditangani secara lebih berkesan.