Melaka: Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Azman Abidin mencadangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menyelaras lampu isyarat mengikut kepadatan trafik di kawasan itu.

Beliau berkata, kelebihan sistem itu ialah keupayaannya menentukan jumlah kenderaan dan aliran trafik di persimpangan memandangkan sistem sedia ada kini bergantung pada penderia atau sensor untuk mengesan kenderaan yang melaluinya.

"Teknologi ini bukan perkara baharu kerana beberapa negara maju sudah menggunakannya untuk mengawal lalu lintas dan pendekatan serupa wajar dipertimbangkan bagi Paya Rumput.

"Teknologi itu lebih mampu milik memandangkan pembinaan jejambat atau pelebaran jalan akan melibatkan kos tinggi dan mengambil masa," katanya kepada Bernama.