KUALA SELANGOR – Masjid At Taufiqiah, Bandar Seri Coalfields di sini tetap mengadakan solat Jumaat hari ini walaupun dinaiki air dalam kejadian banjir lumpur kelmarin.

Kerja-kerja pembersihan di masjid itu dilaksanakan pihak pengurusan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) yang menghantar beberapa pekerja dan peralatan ‘water jet’ untuk membersihkan lumpur yang menenggelamkan bahagian dalam masjid.

Masjid yang mendapat jolokan ‘masjid banjir’ itu sudah tujuh kali dilanda banjir lumpur.

Pengerusi masjid, Dr. Masrom Mohd. Khair berkata beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut turun padang membantu membersihkan masjid terutama di kawasan perkarangan dan dalam masjid.