JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Johor membenarkan peniaga menyimpan stok atau bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, inisiatif itu membolehkan peniaga yang mempunyai lesen khas simpanan barangan kawalan, meningkatkan kapasiti simpanan.
“KPDN negeri Johor mengambil langkah proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi MTL dengan membenarkan peniaga menyimpan stok atau bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus.
“Barangan tersebut merupakan keperluan asas iaitu barang kawalan seperti beras dan minyak masak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 Peringkat Negeri Johor di NSK Trade City, Skudai di sini hari ini.









