LUMUT – Seorang jurujual ditahan polis setelah dia dipercayai menyamun rakan sekerjanya semalam melibatkan 40 buah telefon bimbit bernilai antara RM50,000 ke RM60,000.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, mangsa seorang wanita berusia 20 tahun disamun ketika dia berada di Marina Island di sini, untuk mengambil rakan sekerjanya.
Beliau berkata, mangsa bersama rakan sekerjanya itu sepatutnya ke Ipoh untuk menjual barangan berkenaan sebelum mereka disamun dua suspek.
“Susulan itu, seorang suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung. Suspek baharu kerja selama sebulan sebagai jurujual di kedai telefon yang sama dengan mangsa,” katanya di sini hari ini.








