Kuala Lumpur: Kuota teksi rentas sempadan berlesen antara Malaysia dan Singapura akan ditambah daripada 300 kepada 500 bagi setiap negara berkuat kuasa 16 November ini.
Penambahan itu dilaksanakan menerusi Skim Teksi Rentas Sempadan yang dipertingkatkan, selain menyaksikan dua pengendali baharu perkhidmatan e-hailing, CDG Zig Pte Ltd (CDG Zig) dan Kumpool Sdn Bhd (Kumpool) diberikan lesen untuk beroperasi di bawah skim berkenaan.
Perkembangan itu membolehkan lebih banyak teksi menyertai skim berkenaan, sekali gus meningkatkan bekalan perkhidmatan teksi rentas sempadan berlesen dan menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang antara kedua-dua negara.
Kementerian Pengangkutan Singapura dan Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam kenyataan bersama, memaklumkan penambahbaikan itu bertujuan memberikan lebih kemudahan kepada pengembara, selain memastikan keadaan operasi yang adil kepada penyedia perkhidmatan pengangkutan dan pemandu di kedua-dua negara.






