Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaudit dana RM50 juta diperoleh UMNO untuk membayar denda yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Beliau berkata, audit itu penting bagi memastikan semua dana yang dikutip adalah sah dan bukan wang haram.
"Lebih penting lagi saya menyeru BNM dan SPRM supaya mengaudit jejak wang yang masuk ke dalam akaun derma UMNO untuk Najib, bagi memastikan segala dana yang diraih adalah sah dan bukannya hasil pengubahan wang haram.
"UMNO mendakwa berjaya mengumpul RM50 juta untuk membawa pulang penjenayah terbesar Malaysia, Najib Razak bagi menjalani tahanan di rumah," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.










