KUALA LUMPUR: Risiko banjir yang semakin menjadi ancaman kepada kehidupan dan harta benda rakyat Malaysia masih belum diterjemahkan kepada kesedaran mencukupi mengenai kepentingan perlindungan insurans.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon, berkata tahap kesedaran terhadap kepentingan perlindungan bencana alam masih rendah apabila hanya 14 peratus pemegang polisi insurans kenderaan di Malaysia mempunyai perlindungan tambahan banjir, manakala bagi polisi kebakaran dan harta benda, kadarnya hanya 33 peratus.
Beliau berkata, angka itu sekali gus mendedahkan sebahagian besar pemilik aset kepada risiko kerugian kewangan sekiranya berlaku bencana itu.
Katanya, menghadapi musim monsun mendedahkan jurang ketara antara tahap risiko bencana alam di negara ini dengan kesediaan pemilik kenderaan dan hartanah mendapatkan perlindungan sewajarnya.






