KUALA LUMPUR: Membina kerjaya dalam dunia seni sejak usia remaja tidak pernah membuatkan pelakon, Nelissa Edreena Nizam, 28, melupakan impian untuk menggenggam segulung ijazah, biarpun terpaksa bekerja keras membiayai sendiri pengajiannya.
Dibesarkan ibu tunggal yang menitikberatkan sikap berdikari, Nelissa menjadikan pesanan ibunya sebagai pegangan untuk mencari pendapatan sendiri sebelum melanjutkan pengajian ke menara gading.
Biarpun perlu membahagikan masa antara komitmen penggambaran, tugasan akademik dan tanggungjawab terhadap keluarga, kesibukan membina kerjaya seni tidak pernah memadamkan keinginannya untuk menamatkan pengajian.
Bagi graduan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, pendidikan bukan sekadar kelayakan akademik, sebaliknya pelaburan penting untuk membina masa depan.









