JOHOR BAHRU: Syarikat tempatan perlu melakukan transformasi dari segi pengurusan, teknologi dan kapasiti pengeluaran bagi meningkatkan daya saing serta memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perubahan itu penting bagi membolehkan syarikat tempatan berkembang menjadi pemain global, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, usaha berkenaan memerlukan kepimpinan berwawasan yang bersedia mencabar 'status quo' serta memberi nafas baharu kepada operasi perniagaan bagi menghadapi persaingan pasaran antarabangsa.

Katanya, perkembangan Apollo Food Industries yang mengeksport produknya ke Indonesia, Thailand dan beberapa negara di Afrika selain sedang meneroka pasaran Jepun, menunjukkan potensi syarikat yang bertapak di Johor untuk berkembang ke peringkat global.