KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) tidak menolak kemungkinan melaksanakan pelarasan harga produk secara bersasar sekiranya tekanan peningkatan kos komoditi dan bahan mentah berterusan.

Produk F&N mencatatkan kenaikan harga purata antara tiga hingga empat peratus bagi portfolio jenama terpilih sepanjang tempoh 12 hingga 15 bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Tarang Gupta, berkata angka berkenaan adalah purata indikatif bagi portfolio jenama terpilih di Malaysia dan Thailand, dengan pelaksanaan pelarasan berbeza mengikut produk serta pasaran.

Menurutnya, kumpulan perlu mengambil kira peningkatan kos input termasuk gula, timah dan tenaga yang dijangka terus memberi tekanan kepada perbelanjaan operasi dalam tahun kewangan 2027.