KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), penyedia infrastruktur pembayaran nasional pusat mengesahkan tiada sebarang masalah membabitkan operasi Rangkaian ATM Kongsi (SAN) kendaliannya.
Ia susulan dakwaan pengguna media sosial berhubung gangguan transaksi pengeluaran wang tunai antara bank.
PayNet, yang ditubuhkan pada Ogos 2017 melalui penggabungan Malaysian Electronic Payment System (MEPS) dan MyClear berkata, hasil semakan bersama pasukan dalaman syarikat itu mendapati rangkaian berkenaan beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang isu dikesan.
Katanya, pengguna masih boleh mengakses perkhidmatan perbankan serta melakukan pengeluaran wang tunai antara bank menerusi rangkaian berkenaan.









