MUAR: Bekas koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan mengemukakan sapina mahkamah palsu bagi mengelak hadir bertugas dan menjalani ujian saringan awal air kencing, dua tahun lalu.

Tertuduh, Abd Ghani Ali, 39, yang dibuang kerja tahun lalu selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan dokumen berupa rekod mahkamah dengan mengubah tarikh perbicaraan pada 21, 24 dan 26 September 2023, kononnya bagi membolehkannya hadir sebagai saksi di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Tangkak, pada 23 September 2023.