SUBANG JAYA: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) menekankan kepentingan menterjemahkan bukti saintifik berkaitan pemakanan kepada amalan klinikal bagi mempertingkatkan penjagaan dan kualiti rawatan dan kehidupan pesakit penyakit buah pinggang kronik (CKD) menerusi Persidangan Pemakanan Renal Ke-6 2026.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah NKF, Dr Thiruventhiran Thilagananthan, berkata perkembangan sains pemakanan renal memerlukan pengamal kesihatan sentiasa mengemas kini amalan berasaskan bukti dan garis panduan terkini.

"Pemakanan renal terus berkembang seiring penemuan bukti baharu dan saranan yang dikemas kini. Pengetahuan itu penting, tetapi nilai sebenarnya terletak pada bagaimana kita menterjemahkannya kepada amalan dan sama ada usaha itu akhirnya memberikan perubahan kepada pesakit," katanya.