KUALA LUMPUR: Taktik terbaru along kini semakin melampau apabila tetap menyimbah cat dan melempar bom petrol ke rumah mangsa biarpun pinjaman sudah diselesaikan, sekali gus terus 'memeras' wang mangsa.

Mangsa, Lim, 57, mendakwa anaknya meminjam RM1,400 daripada along pada Jun lalu untuk memulakan perniagaan sebelum membuat bayaran sebanyak RM2,000.

"Bagaimanapun, along tetap bertindak menyimbah cat ke rumah kami. Mereka minta lagi bayaran, bukan hanya daripada saya tetapi anak-anak lain dan bekas suami. Bila tak dapat mereka baling bom petrol," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Tidak tahan terus diganggu, Lim menemui Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) untuk mendapatkan pandangan sebelum diminta membuat laporan polis.