Batu Gajah: Selepas hampir empat tahun terpisah daripada keluarga, seorang bekas prospek hanya mempunyai satu hasrat sebaik dibebaskan lebih awal hari ini iaitu memegang kaki ibunya sambil memohon maaf atas segala kesilapan dilakukannya.

Lelaki berusia 36 tahun dari Teluk Intan yang hanya mahu dikenali sebagai Thilagan itu berkata, pengampunan diperkenankan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bersempena sambutan Hari Keputeraan baginda memberi peluang kepadanya bukan sahaja untuk kembali ke pangkuan keluarga malah memperbaiki hubungan dengan insan paling disayanginya.

"Saya mahu pegang kaki mak dahulu dan minta maaf kepadanya kerana selama ini saya banyak menyakitkan hati mak.

"Saya sedar saya banyak buat salah, menjadi anak yang jahat dan selalu menyusahkan keluarga sehingga mereka bimbang, namun sekarang saya mahu berubah," katanya ketika ditemui selepas majlis pembebasan awal banduan pengampunan negeri Perak di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.