GOPENG: Komitmen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bukan sekadar berkisar isu penjawat awam tetapi rakyat khususnya penduduk kampung demi meningkatkan kualiti kehidupan, ekonomi dan pendidikan mereka.

Program strategik itu diterjemahkan menerusi peruntukan RM1.465 juta bagi pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan pendidikan melalui Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA 2026 di Kampung Kota Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pelaksanaan program sejak April lalu membuktikan bahawa kerjasama strategik antara agensi kerajaan mampu menterjemahkan perancangan kepada hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.