Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) tahun depan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan kurikulum baharu dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, dengan peruntukan Belanjawan 2027 menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan.
Menterinya Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata cabaran utama kementerian adalah memastikan perancangan dan inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan murid dan warga pendidik.
"Peruntukan ini membolehkan kita melaksanakan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, dengan fokus utama pada tahun hadapan ialah pelaksanaan kurikulum baharu.
"Belanjawan ini nyata memberi penekanan kepada kualiti pendidikan, terutamanya bagi menjayakan Rancangan Pendidikan Malaysia dan kurikulum baharu tersebut, insya-Allah," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Belanjawan 2027: Memperkukuh Pendidikan, Melakar Masa Depan" di Wisma Bernama, semalam.






