BATU PAHAT: Ibu dan anak lelakinya, masing-masing dipenjara 18 dan 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk tiga masjid dan mencuri wang tabung anak yatim serta sumbangan orang ramai.
Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Noorashikin Jufri, 39, dan anaknya, Muhammad Zulhaikal Kamaruzaman, 19, yang masing-masing berdepan tiga dan dua pertuduhan.
Siti Noorashikin yang ibu kepada enam anak didakwa memecah masuk Masjid Dato Bentara Luar dan mencuri wang tabung Pertubuhan Anak Yatim Islam Batu Pahat pada jam 9.59 pagi, 2 November lalu.
Dua beranak itu turut didakwa bersama-sama mencuri wang tabung Masjid Jamek Ar-Raudhah, Jalan Peserai, pada jam 11.30 pagi, 21 September lalu dan mencuri wang tabung derma Masjid Azzakirin, Kampung Parit Bajuri, Bagan, Semerah, pada jam 12.40 tengah hari, 2 September lalu.









