Batu Pahat: Wanita dan anak lelakinya masing-masing dipenjara selama 18 dan 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku salah pecah masuk tiga masjid dan mencuri wang tabung anak yatim serta sumbangan orang ramai.

Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Noorashikin Jufri, 39, dan anaknya, Muhammad Zulhaikal Kamaruzaman, 19, yang masing-masing berdepan tiga dan dua pertuduhan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah mengambil kira rayuan kedua tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Siti Noorashikin yang ibu kepada enam anak didakwa memecah masuk Masjid Dato Bentara Luar, di sini, dan mencuri wang tabung Pertubuhan Anak Yatim Islam Batu Pahat pada 9.59 pagi, 2 November lalu.