KUALA LUMPUR: Industri makanan dan minuman (F&B) yang menjana hasil RM83 bilion pada 2025 perlu memanfaatkan teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh keupayaan operasi, meningkatkan produktiviti serta menangani cabaran struktur yang dihadapi sektor berkenaan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah, berkata perkembangan teknologi robot memasak pintar dan sistem automasi menawarkan penyelesaian praktikal yang boleh diperluaskan penggunaannya dalam industri F&B, termasuk kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, sektor berkenaan berdepan beberapa cabaran utama, antaranya kekurangan tenaga kerja berterusan, peningkatan kos operasi, ketidaktentuan harga bahan mentah serta jangkaan pengguna yang semakin tinggi terhadap kebersihan makanan, kualiti dan kecekapan perkhidmatan.









