KUALA SELANGOR – Sebuah sekolah agama swasta di Tanjong Karang di sini mengalami kerugian selepas premis berkenaan dipecah masuk dua lelaki awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi apabila suspek memecah masuk sebuah bilik di bangunan kedai yang dijadikan sekolah agama berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari sama.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati dua lelaki yang belum dikenal pasti identiti dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.