Georgetown: Pengendali Melaka FC (MFC), E Elavarasan menganggap kemenangan 2-1 ke atas Penang FC sebagai bonus buat skuad kendaliannya sekali gus menebus rekod tiga kali kekalahan berturut-turut pada aksi Liga Super sebelum ini.

Beliau berkata, pasukannya berhak mendapat sepakan penalti pada penghujung aksi semalam sekali gus membantu skuad kendaliannya meraih kemenangan pada masa sama mengakui pasukannya berdepan tugas sukar apabila bertandang ke gelanggang lawan.

"Secara keseluruhan, adalah paling penting untuk mendapatkan tiga mata jadi kami anggap bonus buat kami sebab sebelum ini Penang sudah tiga kali menang dalam pertemuan sebelum ini dan kekutannya pun bagus di laman sendiri.

"Kedua-dua pasukan mendapat sepakan penalti, tetapi saya fikir kami juga berhak mendapat penalti pada minit-minit akhir itu untuk memenangi perlawanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Stadium Bandaraya, semalam.