Beijing: Konduktor wanita pertama China, Zheng Xiaoying, terus aktif mengendalikan persembahan opera walaupun kini berusia 97 tahun, sekali gus membuktikan kecintaannya terhadap muzik tidak pernah luntur.
Memetik South China Morning Post, pada Ogos lalu, beliau mengendalikan persembahan opera Carmen versi bahasa Cina di Xiamen, wilayah Fujian, tenggara China, yang menyaksikan tiket persembahan mendapat permintaan tinggi dan penonton kagum dengan gaya pengendaliannya yang anggun serta penuh ekspresi.
Menurut media sama, beliau dilahirkan di Shanghai pada 1929 dan mula mempelajari piano ketika berusia enam tahun sebelum beralih kepada pengajian biologi serta perubatan di Hospital Kolej Perubatan Kesatuan Peking.






