LONDON: Sepasang pelancong dari Belgium menemukan fosil reptilia laut gergasi, ichthyosaur, yang dianggarkan berusia 174 juta tahun ketika bersiar-siar di pantai Dorset, Britain.

Michel Plissart dan Carine Christens menemukan fosil itu ketika berjalan di pantai berhampiran Bridport selepas terlihat lapisan batu yang timbul dari permukaan pasir.

Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa serpihan tulang terjulur keluar dari lapisan batu pasir yang terdedah.

Penemuan itu bukan sahaja membabitkan fosil ichthyosaur yang jarang ditemukan.Malah, fosil itu adalah spesies paling muda pernah ditemukan di United Kingdom (UK).