KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad memberi keutamaan kepada keluarga dan kehidupan peribadi, vokalis Teacher's Pet, Maman, kini kembali mewarnai industri muzik bersama kumpulan itu menerusi single terbaharu berjudul Menjelmalah Aku.
Kepulangan itu bukan sekadar menandakan kebangkitan semula kumpulan yang pernah mencipta nama pada era 1990-an dan 2000-an, malah membawa kisah pengorbanan, kehilangan serta perjalanan hidup yang membentuk kematangan setiap anggotanya.
Maman atau nama sebenarnya, Rosman Lamri, 57, berkata lagu Menjelmalah Aku sebenarnya sudah dihasilkan ketika pandemik COVID-19, namun pelbagai komitmen kehidupan menyebabkan mereka mengambil masa panjang untuk kembali menyusun langkah dalam industri muzik.









