KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun menanti, kerinduan kira-kira 8,000 peminat terhadap penyanyi dan komposer antarabangsa, Jason Mraz, akhirnya terubat menerusi konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Konsert yang dipersembahkan oleh Prudential Malaysia dan dianjurkan Zues Event itu menyaksikan Jason menghiburkan peminat menerusi 20 lagu yang menyentuh pelbagai sisi kehidupan, termasuk percintaan, persahabatan dan mesej positif.

Membuka persembahan dengan lagu You and I Both, penyanyi berkenaan menyapa penonton dengan penuh mesra menerusi ucapan, “Apa khabar, Malaysia? It’s really good to be back,” sebelum meneruskan persembahan dengan Long Drive, Livin’ in the Moment dan Let’s See What the Night Might Do.