BUKIT MERTAJAM : Kerajaan Russia komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan serta pengajian perubatan.
Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, untuk itu, pihaknya akan mencadangkan agar jumlah biasiswa yang diberikan kepada rakyat negara ini dinaikkan kepada 60 bermula tahun depan sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Russia.
“Bermula tahun depan juga, kerajaan Rusia akan memperuntukkan sebanyak 4,000 biasiswa untuk ditawarkan kepada pelajar antarabangsa termasuk Malaysia menerusi satu program pemilihan khas.
“Mana-mana pelajar yang berjaya dalam program ini pula akan ditawarkan peluang untuk melanjutkan pengajian mereka selama lima hingga enam tahun di Russia,” katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini, hari ini.









