PETALING JAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas hari ini selepas bercuti pada minggu lalu dengan mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bil 3/2026.

Berdasarkan perkongsian di Facebook rasmi AKPS, Mohd Shuhaily mempengerusikan mesyuarat yang menghimpunkan pegawai kanan dan komander pintu masuk AKPS.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada perancangan Gerak Atur 2027, khususnya memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.

AKPS memaklumkan, mesyuarat berkenaan menjadi platform menyelaras gerak kerja bagi memastikan kecekapan pengoperasian agensi itu terus dipertingkatkan.