LAHAD DATU: Pengarah klinik swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menggunakan maklumat 880 pekerja tanpa pengetahuan mereka bagi membuat tuntutan berkaitan program saringan kesihatan bernilai kira-kira RM50,000.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.

Difahamkan, suspek dipercayai mengemuka dokumen mengandungi butir palsu bagi mendapatkan dana Program Saringan Kesihatan anjuran sebuah badan berkanun.

Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan pada 2023 dengan menggunakan maklumat 880 pekerja yang juga pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).