KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, pulih daripada penyusutan awal untuk kekal melepasi paras 1,600 mata, disokong aktiviti pembelian terpilih pada harga rendah dalam saham wajaran tinggi sektor telekomunikasi dan berkaitan komoditi walaupun saham teknologi terus menyusut.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata prestasi pasaran serantau bercampur-campur berikutan pelabur menilai semula prospek pendapatan sektor teknologi dan kemampanan pelaburan besar-besaran berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, pada masa sama harga minyak mentah Brent menyusut lebih tiga peratus kepada sekitar AS$110 setong di tengah-tengah harapan bahawa ketegangan di Asia Barat akan berkurangan berikutan usaha diplomatik membabitkan Iran dan Qatar.