Seremban: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin untuk bertindak sebagai pencelah dalam saman pemula yang difailkan 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan berhubung tafsiran Undang-Undang Tubuh Negeri.

Dalam prosiding yang diadakan secara sidang video bermula jam 11 pagi, Hakim Roz Mawar Rozain berkata, Setiausaha DKU itu tidak mempunyai kepentingan secara peribadi dalam kes berkenaan.

Ini kerana, katanya, kepentingan yang dibangkitkan dalam permohonan itu adalah milik DKU sebagai sebuah institusi dan bukannya Setiausaha DKU secara individu.

Roz Mawar kemudiannya membenarkan permohonan DKU untuk mencelah dan menetapkan institusi itu sebagai defendan ketiga dengan pembabitannya dihadkan kepada isu berkaitan yang akan ditentukan kemudian.