Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang anggota polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pengedar dadah sebagai balasan melindungi kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.

Suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sepanjang 2024 dengan menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM2,500 setiap bulan menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadinya.

Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pengedaran dadah serta menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap kegiatan terbabit.