Kuala Lumpur: Semua lorong di Kilometer (KM) 9.1 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) masih ditutup setakat jam 8.28 malam ini, susulan hujan lebat dan kejadian banjir hari ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu hantaran di X memaklumkan, semua lorong arah ke utara masih terhalang dan trafik dari Bukit Raja dilencongkan ke Plaza Tol Setia Alam, manakala kenderaan menuju ke Subang diminta membuat pusingan U di KM8.5 arah utara.
Sementara itu, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang masih sesak dan bergerak perlahan, antaranya Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Persiaran Kewajipan hingga Plaza Tol Sunway dan Kinrara ke susur Puchong Jaya menuju ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).








