KUALA LUMPUR: Ketika anaknya disahkan menghidap kanser mata, Zai Suhana Mohd Tap, 44, terpaksa membuat keputusan yang sukar untuk meninggalkan pekerjaan agar dapat memberikan sepenuh perhatian kepada penjagaan anak dan pada masa sama menjana sumber pendapatan lain untuk membantu menyara keluarga.
Rawatan dan penjagaan anaknya kekal sebagai keutamaan, namun tanggungjawab untuk menjana sumber pendapatan tidak boleh dipandang ringan.
Akhirnya perniagaan secara kecil-kecilan menghasilkan minuman berasaskan durian belanda membuka ruang kepada beliau untuk mengimbangi kedua-dua tanggungjawab itu.
Pada 2017, Zai Suhana memulakan langkah pertama dari rumah dalam perniagaan minuman durian belanda dengan mempelajari sendiri kaedah memproses buah itu dan menyediakan minuman untuk dijual.








