KUALA LUMPUR: Handal Energy Bhd sedang menyediakan representasi bertulis kepada Bursa Malaysia Securities Bhd bagi menjelaskan faktor syarikat itu tidak seharusnya dinyahsenaraikan dan akan mengemukakannya pada 10 November.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tenaga yang disenaraikan di Pasaran Utama itu menjelaskan pihaknya telah menerima surat daripada Bursa Securities yang meminta pihaknya memberi penjelasan mengapa sekuritinya tidak wajar dinyahsenaraikan daripada Senarai Rasmi Bursa Securities.

Arahan itu tertakluk di bawah Perenggan 9.28(6) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

"Notis itu dikeluarkan selepas Bursa Securities mendapati syarikat gagal mengumumkan laporan tahunannya yang merangkumi penyata kewangan tahunan yang telah diaudit berserta laporan juruaudit dan pengarah, bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2025," tambahnya.