KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh ISF Group Bhd, Yeo Plumber Sdn Bhd memperoleh projek pusat data berskala hiper di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan nilai kontrak gabungan sebanyak RM83.2 juta dari sebuah kumpulan kejuruteraan awam dan pembinaan bangunan yang berpangkalan di Malaysia.

Penyedia penyelesaian secara menyeluruh itu berkata tiga daripada kontrak itu, berjumlah kira-kira RM73.3 juta, meliputi pemasangan sistem air penyejukan, sistem penuaian air hujan, retikulasi air dan perkhidmatan sanitari untuk pembangunan pusat data tersebut.

"Kontrak keempat, bernilai kira-kira RM9.9 juta merangkumi kerja-kerja infrastruktur pembetungan luaran.

"Dengan empat kemenangan kontrak ini, tempahan dalam tangan ISF yang belum dibilkan meningkat kepada RM225.5 juta, memberikan kumpulan itu keterlihatan pendapatan yang lebih besar sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2029," katanya melalui satu kenyataan.