KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan pemantauan berkala dan penambahbaikan pengurusan bagi memulihkan prestasi kewangan anak syarikat kerajaan negeri susulan 20 daripada 26 syarikat berkenaan mencatatkan kerugian berjumlah RM24.01 juta pada 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menjalankan audit sendiri selain pemantauan oleh Jabatan Audit Negara bagi meneliti kedudukan kewangan, prestasi operasi serta masalah yang dihadapi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita menyambut baik dapatan-dapatan audit dan sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, terdapat perbezaan besar dari segi usaha mengurangkan kerugian yang ditanggung syarikat,” katanya selepas mengiringi Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada Seminar Biodiversiti Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.