KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Signature Alliance Group (SAG), Zig Zag Builders memperoleh kontrak bernilai RM51.56 juta untuk melaksanakan kerja pembangunan semula dan pengubahsuaian Underwater World Langkawi di Kedah.

Penyedia perkhidmatan kelengkapan dalaman itu memaklumkan, Zig Zag Builders dilantik oleh pengendali akuarium berkenaan, Underwater World Langkawi Sdn Bhd (UWLSB), untuk melaksanakan projek selama 18 bulan yang bermula 13 November 2026.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SAG memaklumkan anak syarikatnya dikehendaki menyediakan bon pelaksanaan bernilai RM2.58 juta, bersamaan lima peratus daripada nilai kontrak, bagi menjamin pelaksanaan projek itu dengan sempurna.