KUALA LUMPUR: Daya tahan ekonomi Malaysia yang terus mencatatkan pertumbuhan kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global membuka ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menilai semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras lebih normal dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pihaknya menjangkakan BNM berkemungkinan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus berbanding 2.75 peratus ketika ini.

Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan pemerhatian bahawa keputusan BNM menurunkan OPR daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus pada Julai 2025 adalah langkah awal bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi susulan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) pada April tahun sama.