Kota Bharu: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menggerakkan bantuan kebajikan dan sokongan psikologi kepada keluarga bakal graduannya, Husna Syakira Abd Halim yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak hari ini.
UMK dalam kenyataan menzahirkan ucapan takziah dan dukacita atas tragedi yang menimpa pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan itu.
Husna Syakira ialah penuntut program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan Kepujian, yang dijadualkan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen UMK ke-16 esok.
Kenyataan itu memaklumkan UMK kini menunggu hasil siasatan lanjut polis dan Hospital Gerik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kepada pihak berkenaan.








