Johor Bahru: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini mengesahkan insiden kebakaran melibatkan sebuah lokomotif tren kargo di Kilometer 4.75, laluan di antara Kempas Baru dan Pasir Gudang, kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan lokomotif M1004 mengendalikan tren kargo No. 193 bagi perjalanan dari Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Pasir Gudang.
Menurut kenyataan itu, pemandu tren berkenaan telah mengambil tindakan segera dengan memberhentikan tren sebaik sahaja mengesan kebakaran pada lokomotif tersebut sebagai langkah keselamatan.
"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 2.50 petang dan tiada kecederaan dilaporkan," menurut KTMB.








