JOHOR BAHRU - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Isnin mengesahkan insiden kebakaran melibatkan sebuah lokomotif tren kargo di Kilometer 4.75, laluan di antara Kempas Baru dan Pasir Gudang, kira-kira jam 1.10 tengah hari.KTMB dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan lokomotif M1004 mengendalikan tren kargo No. 193 bagi perjalanan dari Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Pasir Gudang. Menurut kenyataan itu, pemandu tren berkenaan telah mengambil tindakan segera dengan memberhentikan tren sebaik sahaja mengesan kebakaran pada lokomotif tersebut sebagai langkah keselamatan."Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 2.50 petang dan tiada kecederaan dilaporkan," menurut KTMB.Selain itu, pihak KTMB turut mengambil langkah-langkah keselamatan di kawasan terlibat sebelum sebarang pergerakan tren dibenarkan.Lokomotif itu kemudian telah dibawa ke Depoh Kempas Baru bagi menjalani pemeriksaan teknikal serta penilaian tahap kerosakan, dan pemeriksaan lanjut akan dilaksanakan dengan kerjasama Berapit Mobility dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.Lokomotif terbabit antara aset yang terlibat dalam pelaksanaan Rolling Stock Strategy (RSS), iaitu inisiatif penyediaan dan pemulihan aset rel melalui model jual dan pajak semula bagi memperkukuh keupayaan operasi kargo negara.Menurut KTMB, Program RSS melibatkan keseluruhan 44 unit lokomotif dan 246 gerabak kargo, merangkumi kerja baik pulih serta penyelenggaraan aset berdasarkan pengaturan pajakan yang ditetapkan."Sebarang penemuan daripada siasatan akan diteliti bagi menentukan keperluan langkah pencegahan dan penambahbaikan yang bersesuaian. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Johor dalam kenyataan berasingan memaklumkan, sebuah Fire Rescue Tender dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau telah dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan."Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di lokasi mendapati berlaku kebakaran kepala kereta api dengan kemusnahan lima peratus," menurut kenyataan itu. - Bernama