Arau: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan selepas mengaku membaling batu ke arah sebuah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga menyebabkan cermin koc pecah berhampiran Jejantas Jelempok, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata suspek ditahan menerusi Op Cantas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Arau bersama Task Force Balai Polis Arau di sebuah rumah di Kampung Guar Sanji, awal pagi tadi.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku dengan sengaja membaling seketul batu ke arah cermin tren KTMB.

"Ketika kejadian, suspek bersama empat rakannya sedang melepak di kawasan jejantas motosikal Kampung Jelempok, Arau," katanya dalam kenyataan.