Kuala Lumpur: Penubuhan universiti khusus sains sukan atau sukan di negara ini tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian utama kepada pembangunan ekosistem sukan, sebaliknya tumpuan lebih besar perlu diberikan kepada penciptaan peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan graduan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli menyatakan industri sukan negara perlu diperkasakan menerusi model lebih progresif dan inovatif bagi memastikan graduan bidang berkenaan mempunyai laluan kerjaya yang jelas.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini sudah mempunyai beberapa universiti yang memberi tumpuan kepada bidang sukan, selain memiliki fakulti sains sukan, kemudahan dan ekosistem penyelidikan berkaitan.