SHAH ALAM - Kegiatan mafia korporat yang didakwa sudah lama berlaku perlu diteliti secara menyeluruh oleh jawatankuasa khas atau ‘task force’ bagi mengenal pasti dakwaan salah laku serta nasib pihak yang mendakwa kehilangan aset dan kepentingan perniagaan.Pengasas Abrar Group International (Abrar Group), Dr Wan Hasni Wan Sulaiman berkata, penelitian semula kes lama penting bagi memastikan dakwaan berkaitan manipulasi perniagaan dan penyalahgunaan instrumen undang-undang dapat dinilai berdasarkan bukti."Bagi saya apa yang telah terjadi, sedang terjadi atau akan terjadi adalah sistemik. Seyogialah (sepatutnya) bagi saya ‘task force’ melihat keseluruhan isu secara sistemik, bukan sahaja kepada isu semasa iaitu apa yang disebut sebagai mafia korporat," katanya dalam hantaran di Facebook.Pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kerajaan mewarisi sistem kurang telus menyebabkan pelbagai jenayah korporat dan manipulasi pasaran sejak 1980-an dan 1990-an gagal ditangani dengan berkesan termasuk kes pengambilalihan syarikat serta institusi perbankan utama yang didakwa melibatkan campur tangan politik.Anwar berkata, kelemahan penguatkuasaan sebelum ini turut menyebabkan kes berprofil tinggi membabitkan kerugian berbilion ringgit tidak dikenakan tindakan sewajarnya, selain mendakwa kegiatan mafia korporat tersebut mempunyai kaitan dengan pengaruh pemimpin tertentu pada masa tersebut.Susulan itu, beliau mengumumkan kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi menyiasat jenayah korporat dengan laporan penuh siasatan dijangka didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan.Bagaimanapun, Wan Hasni berpandangan jawatankuasa khas berkenaan perlu turut meneliti persoalan berkaitan hak sivil individu yang mendakwa menjadi mangsa, termasuk mereka yang kehilangan aset atau mengalami kerugian perniagaan.Beliau berkata, jawatankuasa penyiasatan lazimnya berperanan meneliti kes dan mendedahkan dapatan, namun persoalan mengenai pemulihan hak serta tuntutan sivil memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut.Berkongsi pengalamannya, Wan Hasni mendakwa Abrar Group kehilangan projek bernilai kira-kira RM6 bilion pada penghujung 1990-an, selepas beliau dipanggil bertemu kepimpinan kerajaan ketika itu.Beliau mendakwa, syarikat berkenaan telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM70 juta bagi kajian kebolehlaksanaan, pelantikan perunding dan kajian kewangan berkaitan projek terbabit, namun tidak menerima sebarang bayaran balik selepas projek itu dibatalkan."Saya kena puji Perdana Menteri yang cukup berani. Bahkan beliau membangkitkan kembali salah laku atau perbuatan kejam yang terjadi pada hujung 1990-an, di mana ramai yang dipaksa (dengan) ‘gunpoint’ untuk menyerahkan aset, syarikat, bisnes, kontrak dan sebagainya kepada pihak yang terpilih."Saya dan Abrar Group adalah salah satu mangsa besar aktiviti mafia korporat ini. B