London: Penyerang Arsenal, Kai Havertz mencipta sejarah baharu Liga Perdana Inggeris apabila muncul pemain Jerman paling banyak menjaringkan gol dalam saingan itu selepas membantu The Gunners menewaskan Liverpool 1-0, semalam.
Jaringan kemenangan itu menyaksikan Havertz mengumpul keseluruhan 46 gol sepanjang 172 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris, sekali gus memintas rekod bekas pemain Manchester City, İlkay Gündoğan yang meledak 45 gol daripada 221 perlawanan.
Menariknya, Havertz tidak mahu terlalu menumpukan perhatian terhadap pencapaian peribadinya, sebaliknya memberikan penghargaan kepada rakan sepasukan, Declan Rice yang menghasilkan hantaran lintang sempurna untuk membolehkannya menyudahkan peluang di depan gawang.








