SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dimasukkan sebagai defendan ketiga dalam saman pemula yang difailkan berhubung isu pembatalan pelantikan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Bagaimanapun, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin untuk dimasukkan sebagai defendan dalam saman itu atas kapasiti peribadi, selepas memutuskan beliau gagal membuktikan sebarang hak atau liabiliti undang-undang peribadi yang akan terjejas secara langsung.
Dalam penghakimannya, Roz Mawar berkata, DKU sudah membuktikan wujud kepentingan undang-undang secara langsung yang berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) berhubung perkara yang menjadi subjek saman pemula itu.








