SEREMBAN – Kes saman pemula 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berdepan bantahan awal apabila Kerajaan Negeri mempertikaikan kaedah pemfailan tindakan undang-undang itu.

Bantahan tersebut dibangkitkan pada prosiding pengurusan kes kali pertama di Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini, dengan pendengaran permohonan bantahan awal ditetapkan pada 16 November ini melalui aplikasi Zoom.

Di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain itu, Kerajaan Negeri selaku defendan kedua yang diwakili peguam, Razlan Hadri Zulkifli membangkitkan isu bahawa perkara berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui saman pemula, sebaliknya menerusi semakan kehakiman.