Kuala Terengganu: Bahang Kejohanan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Timur bersama Harian Metro semakin dirasai apabila Karnival Takraw & Mini-Klinik di Batu Buruk berjaya menarik ramai pengunjung, sekali gus membuktikan sepak takraw masih mempunyai pengikut tersendiri.
Bukan sekadar menghimpunkan peminat sukan warisan itu, karnival yang berlangsung dari 1 tengah hari hingga 6 petang berkenaan turut menjadi medan riadah keluarga apabila pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.
Kemeriahan program bertambah gamat dengan kehadiran dua penyampai radio Hot FM, AG (Muhammad Azmir Selamat) dan Bidin (Bidin Alzaifa) yang menghiburkan pengunjung menerusi pelbagai aktiviti interaktif.








